Friday, April 19, 2013

Yong Akui Pertelegahan Serius Dalam Pakatan Pembangkang Di Sabah #PRU13



KOTA KINABALU, 19 April (Bernama) -- Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee mengakui berlaku pertelagahan serius dalam pakatan pembangkang yang boleh menjejaskan peluang mereka untuk menjadikan Sabah 'negeri di barisan hadapan'.

"Kami tidak menjangkakan bahawa perbalahan antara parti termasuk PKR, PAS dan DAP berlaku begitu sengit sehingga menjejaskan peluang pembangkang untuk menawan kerusi negeri.

"Sekiranya SAPP tahu lebih awal bahawa perpecahan dalam pakatan boleh melumpuhkan, kami sudah pasti membuat persediaan untuk bertanding lebih banyak kerusi dewan undangan negeri (DUN)," kata Yong semasa mengumumkan senarai calon parti itu yang bertanding pilihan raya umum ke-13 5 Mei ini, semalam.

Yong akan bertanding di DUN Likas kali ini, menggantikan Datuk Liew Teck Chan, yang memenangi kerusi itu pada PRU 2008.

Likas ialah antara kerusi yang mencatatkan jumlah undi keseluruhan pembangkang yang besar pada PRU12 selain DUN Inanam, Likas, Kapayan, Luyang dan Bingkor.

Yong mengaitkan pertelegahan pembangkang ini dalam isu Parti Reformasi Negeri (Star) Sabah pimpinan Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang mahu bertanding 48 kerusi negeri dan 15 kerusi parlimen.

Jeffrey sendiri dijangka berdepan dengan abangnya Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan untuk kerusi Parlimen Keningau.

Pada pertarungan pertama dua beradik itu pada 2008, Pairin menang kerusi Keningau dengan 4,264 majoriti dalam perlawanan tiga penjuru.

PKR pula dijangka meletakkan calon di 43 kerusi negeri dan 19 parlimen dan SAPP pula dijangka mencuba nasib di 41 kerusi negeri dan lapan kawasan parlimen.

SAPP dan Star sebelum ini diwar-warkan akan bekerjasama dengan blok pembangkang yang berpusat di Semenanjung, namun menemui jalan buntu susulan kegagalan perundingan pembahagian kerusi dalam kalangan mereka.

Star kini cuba menjalin kerjasama dengan protem parti Usno baharu, yang diketuai Datu Badarudin, anak pengasas Usno, Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun, yang juga bekas ketua menteri Sabah.

Badarudin dijangka akan menentang Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal bagi kerusi Parlimen Semporna.

Ketika PKR dijangka mempertaruh harapan pada ahli politik veteran, bekas Timbalan Menteri persekutuan Datuk Yahya Lampong untuk kerusi Parlimen Papar, seorang pemimpin kanan parti itu, Ansari Abdullah, digugurkan daripada senarai calon, yang dikatakan boleh menjejaskan rentak kempen PKR.

Turut mewarnai kehangatan pilihan raya umum kali ini ialah keputusan bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin (Presiden Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah) untuk mempertahan kerusi Parlimen Beaufort dan bertanding di DUN Klias.

DAP sehingga ini belum mengumumkan senarai penuh calonnya di Sabah kecuali Pengerusi DAP negeri Jimmy Wong, yang dijangka bertanding untuk kerusi Parlimen Kota Kinabalu, satu-satunya kerusi parlimen yang dimenangi pembangkang di Sabah.

PAS pula akan bertanding sembilan kerusi negeri dan dua kerusi parlimen.

Pada pilihan raya umum 2008, BN Sabah pimpinan Datuk Seri Musa Aman memenangi 59 daripada 60 kerusi DUN dan 24 daripada 25 kerusi parlimen. BN hanya tewas di tangan DAP untuk kerusi DUN Sri Tanjung di Tawau serta kerusi Parlimen Kota Kinabalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...