Thursday, May 02, 2013

PRU-13: 'Lajim yang banyak gadai tanah' - Musa

 
Oleh SITTI NOR AZIZAH TALATA

BEAUFORT 2 Mei - Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menyelar bekas Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin kerana gemar berbohong apabila mendakwa semua pembangunan yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) di daerah ini merupakan hasil usahanya.

Beliau menyifatkan dakwaan itu tidak benar kerana banyak projek besar yang dilaksanakan di daerah itu diusahakan calon BN bagi kerusi Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd. Dun.

Tegas Musa, Azizah telah berusaha memohon projek-projek pembangunan untuk daerah itu semasa bertugas dalam kementerian Persekutuan antara 2004 hingga 2008.

"Sebagai contoh, Kompleks Sukan Beaufort, bangunan perpustakaan daerah, jambatan dan bekalan air adalah antara projek yang diusahakan oleh beliau (Azizah).

"Namun, dalam kempennya, Lajim mendakwa semua projek itu diusahakannya. Kita ada bukti," ujarnya ketika berucap pada majlis anjuran Yayasan Sabah hari ini.

Yang turut hadir, Azizah; calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias, Isnin Aliasnih; calon BN DUN Kuala Penyu, Limus Jury; calon BN Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad; calon BN DUN Lumadan, Datuk Kamarlin Ombi dan calon BN DUN Sindumin, Ahmad Bujang.

Tambah Musa, Lajim turut menabur fitnah dengan mengaitkan namanya dengan pemilikan tanah di daerah yang kemudian dijadikan isu kempen beliau dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

"Lajim tuduh tanah padang dan tapak tamu pekan daerah Beaufort dikaitkan dengan nama saya sedangkan ia milik Majlis Daerah Beaufort (MDB). Apa yang saya tahu, beliaulah yang banyak menggadai tanah kepada orang luar untuk kepentingan sendiri," katanya. - UTUSAN ONLINE
 
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...