Thursday, April 11, 2013

PRU-13: Elak Eksploitasi, Warna Dakwat Kekal Diketahui Hari Pengundian

PUTRAJAYA 11 April - Bagi memastikan tiada pihak dapat mengeksploitasi penggunaan dakwat kekal, warna dakwat yang akan diguna pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) hanya akan diketahui umum pada hari pengundian.

Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut memastikan bilik kebal yang menempatkan dakwat kekal itu dikawal ketat oleh pasukan keselamatan, selain turut di pasang kamera litar tertutup (CCTV).

Jaminan itu disuarakan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sambil menyatakan bahawa warna dakwat kekal itu adalah berbeza sama sekali dengan warna dakwat yang terdapat di pasaran.

"Warna dakwat kekal itu unik serta tersendiri dan bahan kandungannya mempunyai spesifikasi khas, menjadikannya sukar ditiru," katanya.

Buat pertama kali, pilihan raya umum ini bakal menyaksikan dua jenis dakwat berbeza warna diguna untuk pengundian awal pada 30 April (Selasa) dan pengundi biasa pada 5 Mei (Ahad), kecuali pengundi pos.

Menurut SPR, penggunaan dakwat kekal sebagai satu langkah mengelakkan pengundian berulang seperti yang didakwa sesetengah pihak dan ia selaras dengan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) 2012 yang diwartakan Februari tahun lepas.

Penggunaannya juga diharus dan dibenarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berdasarkan tiga kriteria iaitu dakwat itu tidak najis, tidak memudaratkan dan boleh menyerap air.

Rumusan oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kimia pula mendapati bahan yang digunakan dalam dakwat kekal itu tidak memudaratkan kesihatan.

Dalam peraturan dakwat kekal mewajibkan setiap individu yang ingin mengundi dicalit jari telunjuk kiri mereka sebelum diberi kertas undi. Bagi pengundi yang enggan mematuhi peraturan itu, kertas undi tidak akan dikeluarkan kepada mereka.

Tatacara penggunaan dakwat kekal itu bermula dengan dakwat akan dicalitkan di permukaan atas jari telunjuk kiri pengundi sehingga meliputi kuku dan ke bawah.

Jika tiada jari telunjuk, dakwat akan dicalitkan di atas mana-mana jari tangan kiri, jika tiada tangan kiri, dakwat akan dicalit pada mana-mana jari tangan kanan, bagi pengundi yang tiada tangan, maka dakwat kekal akan dicalitkan pada lengan pengundi di bahagian yang mudah dilihat.

Sejumlah 230,000 botol dakwat kekal akan digunakan, iaitu 10,000 botol untuk pengundi awal dan selebihnya pada hari pengundian biasa, setiap botol dakwat boleh digunakan untuk kira-kira 100 pengundi.

Difahamkan SPR telah merancang laluan dan logistik untuk dakwat-dakwat diagihkan ke negeri-negeri dengan kawalan ketat pihak polis. - BERNAMA
 
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...