Monday, April 15, 2013

CALON KITA PERLU LULUS TAPISAN INSOLVENSI #SABAH #PRU13

CALON KITA PERLU LULUS TAPISAN INSOLVENSI
Oleh: JACOB BALANG



KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Nasional menegaskan bahawa parti itu setakat ini telah pun selesai mengenalpasti 7 pemimpinnya yang layak untuk bertanding sebagai calon bagi kawasan Parlimen; manakala 18 pemimpinnya untuk bertanding kerusi Dun kini masih dalam proses tapisan pihak pejabat Insolvensi.

Presidennya, Haji Masrum Dayat (dua dari kiri) berkata demikian dalam satu sidang media sejurus selepas parti itu selesai mengadakan mesyuarat khas yang dihadiri kira-kira seratus Ketua Ketua Bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi yang diadakan di bangunan Tabung Haji.
Hadir sama mengiringi beliau Setiausaha Agung Parti KITA Azmi Othman, Ketua Penerangan Jailin Toh, Thomas Anggan (Pengerusi Parti KITA Sabah), Mutang Dawat dan beberapa pemimpin parti itu diperingkat Nasional.

Haji Masrum berkata, ketujuh tujuh pemimpin yang telah melepasi tapisan dari pihak Insolvensi dan layak bertanding bagi kerusi Parlimen adalah seperti berikut, Woldin Salag (Kota Marudu); Haji Asik Shah (Kota Belud); Ag Tengah bin Pg Damit (Sipitang); Dr Abdul Rasid Kobod (Semporna); Thomas Anggan (Keningau), Mutang Dawat (Tenom) dan Engah Sintan (Pensiangan).

“Jumlah yang diumumkan sekarang tidak bermakna parti ini hanya menurunkan sejumlah itu sahaja, tetapi kita masih ada lagi pemimpin untuk bertanding bagi kerusi Parlimen dan DUN tetapi masih belum mendapat pelepasan daripada pihak Insolvensi.

“Kita mahu semua bakal bakal calon mesti melepasi kekangan kelayakan mereka untuk bertanding dan memastikan mereka ini benar benar bersih dan bebas daripada masalah kebankrapan. Lagi pun kita mahu pemimpin yang bakal diturunkan itu mempunyai rekod bersih supaya rakyat akar umbi tidak ragu-ragu memberi sokongan padu,” tegas beliau.

Ketika ditanya sama ada parti KITA akan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum kali ke-13 (PRU13) beliau berkata, kesediaan mereka sentiasa terbuka jika pakatan kerjasama yang dihasratkan itu jujur dan ikhlas.

Sebelum itu, ketika mesyuarat itu berlangsung, situasi agak tegang sedikit apabila beberapa pemimpin akar umbi khususnya bakal calon mula mengetengah isu perbelanjaan parti untuk membiayai kos pencalonan dan kos operasi berkempen yang sepatutnya mendapat subsidi daripada pucuk pimpinan parti.

Namun keadaan bertambah hangat apabila pucuk pimpinan parti enggan menyerahkan surat watikah pencalonan dan tauliah parti kepada bakal bakal calon dengan alasan bahawa mereka (bakal calon) hendaklah terlebih dahulu melalui tapisan dari pejabat Insolvensi yang mengesahkan mereka bebas dari masalah kebankrapan.

Seorang pemimpin parti itu yang tersenarai untuk bertanding kawasan Parlimen Pensiangan Engah Sintan berkata, “Kita tidak mahu terlalu membuang masa dengan pelbagai alasan itu dan ini termasuk masalah kewangan parti. Tetapi apa yang lebih penting, serahkanlah watikah dan tauliah kepada kami dan tahulah kami menguruskannya kepada pihak Insolvensi,” tegasnya.

Manakala seorang bekas ahli DAP Kemabong yang mahu menyertai Parti KITA, William Datuk Tingkalor bertindak meninggalkan mesyuarat itu kerana bingung dengan situasi tersebut sambil memberitahu bahawa beliau (William) mahu menangguhkan hasratnya itu untuk sementara waktu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...