Saturday, February 23, 2013

Menyingkap Sejarah Yayasan Sabah

Photo By Augustine 

Menyedari tentang pentingnya mencapai taraf hidup dan pendidikan yang lebih baik bagi rakyat Malaysia di Sabah serta memenuhi keperluan itu dengan lebih cekap, satu enakmen penubuhan Yayasan Sabah telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sabah pada tahun1966. Di bawah enakmen tersebut, Yayasan Sabah terlibat secara meluas dalam pembangunan sosioekonomi penduduk di luar bandar. Penubuhan Yayasan Sabah ini memperlihatkan antara idea kerajaan negeri ketika itu, di mana Yayasan Sabah menjadi medium dalam melaksanakan pembangunan sosioekonomi rakyat Sabah. 

Visi Yayasan Sabah ialah untuk menjadi sebuah organisasi yang "Dinamik, Berjiwa Rakyat, Prihatin Dan Komited". Ini memberi mesej yang jelas mengenai komitmen tinggi Yayasan Sabah dalam mencapai objektif korporatnya untuk menokok tambah peranan kerajaan dalam usaha membawa kemajuan sosial dan ekonomi kepada rakyat Malaysia di Sabah.

Photo By Yayasan Sabah
Dalam bidang sosial, Yayasan Sabah melaksanakan pelbagai program termasuk program sosial Zon yang merangkumi pembangunan pendidikan, sosioekonomi dan sosiobudaya, aktiviti penyelidikan dan pembangunan sosioekonomi (R&D), dan program konservasi alam sekitar antaranya di kawasan Danum Valley, Maliau Basin dan Imbak Canyon milik Yayasan Sabah. Program lain yang turut dijalankan ialah perpustakaan penyelidikan, pendidikan prasekolah, bantuan biasiswa dan pinjaman pengajian, kemudahan asrama, skim bantuan khas, bantuan kebajikan untuk OKU dan lain-lain lagi.

Photo By Yayasan Sabah
Dalam bidang komersil, Yayasan Sabah telah memperluaskan asas ekonominya daripada bergantung secara tradisi dengan sektor-sektor produktif yang lain seperti pengangkutan, hartanah, pelancongan, penanaman rumpai laut, perladangan kelapa sawit, bioteknologi dan minyak dan gas. Ini adalah selari dengan Halatuju Kerajaan Negeri yang memberi fokus kepada sektor pertanian, perlancongan dan sektor pembuatan.

Pada masa akan datang, Kumpulan Yayasan Sabah akan terus mempelbagai sumber pendapatannya dengan fokus untuk mencapai pertumbuhan dan pendapatan yang lebih tinggi.

Sumber: Kumpulan Yayasan Sabah

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...