Thursday, April 04, 2013

ESSZONE Buka Lembaran Baharu Penduduk Pantai Timur Sabah

ESSZONE Buka Lembaran Baharu Penduduk Pantai Timur Sabah 
Oleh Siti Zubaidah Abdullah

SEMPORNA, 3 April (Bernama) -- Penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) adalah satu lembaran baharu dalam meningkatkan jaminan keselamatan dan keamanan di kawasan persisir pantai negeri itu yang bersempadan dengan selatan Filipina.

Bertitik tolak daripada pencerobohan militan dari selatan Filipina di persisir pantai Lahad Datu 12 Feb lepas, kerajaan mengambil langkah menubuhkan Esscom diikuti penubuhan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) sebagai landasan perundangan bagi ESSCOM.

Kawasan ESSCOM merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu yang dijadikan pusat pemerintah, diketuai Datuk Mohammad Mentek sebagai pengarahnya, manakala ESSZONE meliputi kawasan yang lebih luas iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

"Saya mahu perangi habis-habisan soal pencerobohan. Keselamatan rakyat Sabah tidak harus dikompromi dan saya ingin yakini orang ramai bahawa kerajaan serius dalam usaha mewujudkan zon keselamatan di Sabah," itu janji Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Serentak dengan pelaksanaan ESSCOM dan ESSZONE itu, tiga pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) akan beroperasi di kawasan ESSCOM iaitu di Lahad Datu, Kudat dan Pos Kawalan Imigresen Bersepadu Kerakit, Pulau Bangi.

Komitmen menteri berkenaan dalam memastikan kelancaran pelaksanaan ESSCOM dan ESSZONE jelas apabila beliau sendiri 'turun padang' meninjau kawasan terlibat Sabtu lepas.

Memulakan lawatan di Pulau Bum Bum, berhampiran pekan Semporna itu, Hishammuddin berkata lebih 20 kabin berserta peralatan petugas polis telah berada di kawasan itu mengikut pelan susun atur dan memulakan operasi pada 2 April.

Kerja meletakkan kabin di enam balai tambahan lain sedang dalam pelaksanaan termasuk di Pulau Mabul, Semporna, manakala kabin tambahan akan ditempatkan di Balai Polis Tambisan, Lahad Datu serta Balai Polis Kerakit, Kudat.

Selain itu, Hishammuddin berkata tapak untuk Balai Polis Pulau Gaya, Kota Kinabalu sedang dikenal pasti dan Balai Polis Felda Sahabat di Lahad Datu kini dalam peringkat akhir pelaksanaan manakala enam kabin lagi ditambah di Balai Polis Cenderawasih Lahad Datu.

Rata-rata penduduk pantai timur Sabah yang ditemui Bernama menyatakan pembentukan ESSZONE memberi lebih keyakinan serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan itu.

Abdul Suhud Jaani, 35, berkata pembinaan balai polis di Pulau Bum Bum merupakan 'anugerah besar' kepada rakyat Semporna amnya dan khususnya masyarakat di Pulau Bum Bum yang berhampiran perairan Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

"Secara keseluruhannya rakyat di Semporna sangat berbesar hati dan amat bersyukur kepada kerajaan Barisan Nasional (BN), kami berharap dengan adanya zon selamat ini dapat memberi jaminan dan menghalang kemasukan rakyat yang tidak diundang," kata pendidik anak jati Semporna itu.

Beliau berkata pembentukan zon selamat itu merupakan bukti keprihatinan dan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat Sabah bagi menjamin keselamatan dan kedamaian yang berkekalan.

Seorang penduduk Pulau Bum-Bum, Filmen Madusin, 40, berkata kewujudan balai-balai baharu dan ICQS dapat menghilangkan rasa was-was dan tiada lagi ketakutan menghantui jika keselamatan rakyat terus dipelihara di pulau ini.

"Kerajaan telah buat apa sahaja untuk rakyat rasa selamat.. ini barang pasti (kerajaan BN) yang tidak harus ditukar mahupun disangsi lagi dan hari ini menteri berkaitan turun sendiri meninjau," katanya.

Bagi ibu kepada 13 anak, Siti Fatimah Yong, 38, beliau amat berpuas hati dengan pewujudan balai baharu yang membolehkan masyarakat sekitar menjalankan rutin harian pada sebelah malam atau siang hari dengan rasa selamat.

"...jika dahulu tiada balai, saya risau nak berjalan-jalan apatah lagi untuk membiarkan anak-anak bermain di bawah rumah hingga lewat petang. Sejak peristiwa pengganas mula tersebar hingga ke pulau ini, saya dan anak-anak risau dan takut untuk keluar malam... jam 8 malam sudah berada dalam rumah," katanya.

Anak muda Lahad Datu yang bekerja sebagai nelayan Nor Rahmat Mat Salleh, 27, berkata komitmen kerajaan membentuk ESSCOM dan ESSZONE dapat mengembalikan semangat untuk beliau turun ke laut selepas berbulan tidak bekerja berikutan kes pencerohohan militan Sulu di daerah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Cemawang di Gum-Gum, Sandakan pula berkongsi pandangan sama bahawa soal keselamatan di Sabah akan terus terpelihara selepas dikejutkan dengan pencerobohan pengganas Sulu yang menakutkan penduduk di daerah kedua terbesar di Sabah itu.

Bahagian Keselamatan Dalam Negeri membuka bilik gerakan di Kota Kinabalu melalui talian 088-488850 dan di Kuala Lumpur 019-3936617 bagi menerima dan menyalur maklumat kepada orang awam berhubung perkembangan semasa insiden pencerobohan itu. - BERNAMA


Sumber: Tawau 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...