SANDAKAN : Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, merasa terharu dan berbesar hati atas kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengumumkannya sebagai Pengerusi Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) berkuatkuasa serta-merta itu.
Menurut beliau, amanah yang diberikan kepadanya akan digalas sebaik mungkin malahan akan berusaha bagi memastikan keamanan dan keselamatan seluruh rakyat jelata terus terjamin.
Beliau juga akan melakukan yang terbaik untuk negeri ini terutama melibatkan 10 daerah di bawah ESSZONE iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
"Saya amat menghargai perlantikan sebagai Pengerusi ESSZONE dan berikrar untuk menjalankan tanggungjawab seperti yang diamanahkan demi keselamatan sekali gus memberikan kesejahteraan kepada kita semua," katanya.
Bercakap kepada pemberita semasa ditemui pada program Dryrun Simulasi PRU-13 BN Libaran di Dewan Serbaguna Sri Libaran, dekat sini, kelmarin Musa berterima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan melantiknya sebagai Pengerusi ESSZONE.
Katanya, pengumuman Perdana Menteri untuk mewujudkan ESSZONE yang merangkumi 10 daerah itu membuktikan bahawa komitmen tinggi beliau terhadap penduduk di negeri ini dengan memastikan keselamatan terus terjamin.
"Saya yakin dan percaya, Sabah akan berada dalam keadaan aman dan selamat dibawah pelaksanaan ESSZONE saya bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri diatas amanah yang diberikan ini.
"Dari situ, kita boleh nampak keprihatinan beliau yang bertindak cepat demi keamanan dan keselamatan rakyat negeri ini ... sudah pasti pendekatan ini akan menambah lagi keyakinan rakyat," jelas Musa.
Terdahulu, sewaktu berucap pada program pilihanraya secara olok-olok itu Ketua Menteri menyuarakan keyakinan parti akan beroleh kejayaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 berdasarkan komitmen yang tinggi daripada ahli-ahli.
Beliau berkata, kerjasama di kalangan tiga sayap penting parti iaitu Wanita Umno, Pemuda Umno dan Puteri Umno akan membantu mengukuhkan lagi kekuatan Barisan Nasional (BN) apabila berdepan dengan pihak pembangkang pada PRU-13 nanti.
Katanya, keyakinan ini ekoran strategi yang dirangka terbukti berkesan terutama program melibatkan pilihanraya secara olok-olok yang dapat dijalankan dengan lebih kemas dan teratur sekali gus menyumbang kepada kekuatan parti.
"Saya berpuas hati sepanjang program berkenaan ianya berjalan dengan sempurna dan apa yang menyumbang kepada kekuatan BN apabila kerjasama ketiga-tiga sayap penting parti dengan ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi atau PDM.
"Mereka yang terlibat tahu peranan masing-masing dan sudah tentu kerjasama mereka ini akan dapat mengenal pasti apa jua kelemahan yang ada pada parti untuk diperbaiki segera.
"Saya beritahu tadi, walaupun program ini adalah satu pilihan raya yang olok-olok ... tapi penting untuk kita mengenal pasti kelemahan parti supaya bila tibanya pilihanraya nanti, kita akan lebih siap siaga.
"Yang penting setiap ahli parti tidak muda leka dan alpa sebaliknya sentiasa bersiap sedia bagi memantapkan lagi kekuatan jentera parti ... sebab itu, program sebegini amat penting demi kebaikan parti itu sendiri," katanya yang juga Adun Sungai Sibuga dan Ketua Umno Bahagian Libaran itu.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri dan Pengerusi BN Negeri itu turut berkeyakinan ketiga-tiga kerusi di Libaran akan dapat dipertahankan berdasarkan sokongan rakyat semakin meningkat.
Menurutnya, sokongan rakyat di kawasan tersebut tidak pernah berbelah-bagi biarpun pihak lawan cuba mengaburi dengan bermacam-macam dakyah yang tidak berasas.
"Pihak lawan masih dengan taktik kosong dengan menjanjikan itu dan ini ... tetapi kerajaan BN mengotakan janji-janji, saya percaya keyakinan rakyat dan kesiapsiagaan parti akan membawa kejayaan yang lebih bermakna menjelang PRU-13 nanti," ujarnya.
Hadir sama Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol; Adun Gum-Gum, Datuk Zakaria Edris dan Ketua Pemuda Umno Libaran, Suhaimi Haji Nasir serta ketua-ketua cawangan Umno Libaran termasuk ketua-ketua PDM.
No comments:
Post a Comment