Tuesday, March 26, 2013

Kerajaan Akan Sediakan Inisiatif Penempatan Semula Di Timur Sabah - PM


Kuala Lumpur: Kerajaan akan menempatkan semula penduduk yang tinggal di beberapa lokasi di kawasan timur Sabah yang terdedah kepada bahaya penyusupan masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dan orang tidak bernegara.

Datuk Seri Najib Razak berkata, inisiatif di bawah Bahagian III Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 itu dilaksanakan selepas menyedari punca utama pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan kawasan timur lain di Sabah disebabkan kewujudan beberapa penempatan seumpama itu.


Keselamatan penduduk

Beliau berkata, ia membolehkan kerajaan menempatkan semula mana-mana orang atau kumpulan orang, khususnya PATI dan orang tidak bernegara ke satu kawasan selamat dan sesuai yang akan ditentukan oleh kerajaan.

Katanya, ia untuk memelihara keselamatan awam dan kerajaan akan mengambil pertimbangan bukan saja keselamatan dan kesejahteraan pihak yang ditempatkan semula, malah penduduk sedia ada yang tinggal di kawasan penempatan semula.

“Kerajaan akan mempertimbangkan semua aspek mengenai penempatan semula, termasuk mata pencarian orang yang hendak ditempatkan semula dan berunding dengan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri atau Ketua Kampung bagi memastikan kepentingan penduduk sedia ada di kawasan penempatan semula terpelihara,” katanya di upacara perbarisan peringatan Hari Polis Ke-206 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini semalam.

Perdana Menteri berkata, kerajaan memberi jaminan inisiatif itu tidak akan menghalang mana-mana warga negara di sesuatu kawasan penempatan semula yang terkilan dengan keputusan kerajaan dalam isu berkenaan daripada mencabar keputusan kerajaan.
Katanya, di bawah inisiatif penempatan semula, kerajaan menyediakan tempat tinggal sempurna dan memastikan keselamatan orang yang ditempatkan semula.


Impak besar

“Ini kerana kerajaan sedar keputusan menempatkan semula memberi impak besar kepada kehidupan masa depan mereka terbabit. Penghijrahan ke suatu tempat baru membabitkan penyesuaian masyarakat terhadap suasana tempat tinggal baru,” katanya.

Sehubungan itu, atas dasar kemanusiaan dan bagi memastikan orang yang terbabit mendapat manfaat daripada inisiatif itu, kerajaan akan memastikan kesihatan awam, perkhidmatan perubatan dan sanitasi disediakan selain peluang pendidikan seperti pendidikan asas dan peluang pekerjaan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan menyediakan latihan dan kelengkapan jika perlu dengan mendapatkan kerjasama, bantuan serta nasihat dan sumbangan daripada mana-mana organisasi atau badan dalam serta luar negara.

Katanya, walaupun inisiatif penempatan semula hanya tertumpu kepada kawasan timur Sabah saja, ia tidak bermakna kawasan pantai barat Sabah diketepikan.

“Buat masa ini keperluan keselamatan yang lebih mendesak tertumpu ke kawasan timur. Inisiatif ini akan diperluaskan ke seluruh Sabah apabila sesuai,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan kerajaan tidak meragui kesetiaan warga negara berketurunan Suluk kerana mereka warga negara yang mempunyai hak seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara.

Sebaliknya, Najib berkata kerajaan akan terus melindungi hak mereka yang sah dan memperjuangkan kebajikan mereka. 
 
Sumber: BH

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...