Wednesday, March 27, 2013

MP Silam cabar Anwar, Kit Siang tanding di Sabah

DR SALLEH KALBI
 
LAHAD DATU - Anggota Parlimen Silam Salleh Kalbi hari ini mencabar mana-mana pemimpin pembangkang termasuk Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Veteran DAP Lim Kit Siang untuk bertanding di Sabah pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Beliau berkata cabaran itu dibuat memandangkan terdapat pemimpin pembangkang sebelum ini mendakwa krisis pencerobohan di Kampung Tanduo di sini adalah sandiwara daripada kerajaan Barisan Nasional.

"Jika mereka berani, bertandinglah di sini. Rakyat Sabah tahu siapa yang memperjuangkan nasib mereka selama ini dan bukannya seperti pemimpin pembangkang yang turun padang hanya untuk meraih undi dan merayu simpati.

"Pengundi termasuk masyarakat Cina mahu pun yang bukan Islam sentiasa menyokong kepimpinan yang sedia ada ini. Atas dasar itu, saya mencabar pembangkang untuk bertanding di Sabah. Kita tengok sama ada mereka ini berani atau hebat ke tidak," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pada pilihan raya umum ke-12, Salleh menewaskan Dr Hashbullah Iman Chang @ Mohd Taha (PKR) dengan majoriti 9,792 undi.

Salleh juga berkata rakyat Sabah kini semakin benci dengan pembangkang ekoran kenyataan tidak bertanggungjawab pemimpinnya berhubung insiden pencerobohan pengganas militan dari Selatan Filipina.

"Dari perjumpaan bersama badan bukan kerajaan, pertubuhan agama dan sesi sembang bersama pelbagai lapisan masyarakat, mereka semakin membenci pembangkang kerana kenyataan itu.

"Rakyat juga mahukan pemimpin yang mementingkan keselamatan dan keamanan masyarakat dan bukannya pemimpin yang suka mempolitikkan sesuatu isu yang membabitkan nyawa dan menggugat ketenteraman awam," katanya.

Anggota Parlimen Batu dan Naib Presiden PKR Tian Chua pada 14 Mac lepas didakwa di mahkamah kerana menyebut perkataan menghasut dengan membuat empat kenyataan berhubung isu Lahad Datu.

Empat kenyataan itu ialah serangan tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan Umno untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat; insiden berkenaan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan di sebalik wayang mainan kerajaan Umno; menyifatkan pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah; dan ada konspirasi oleh kerajaan Umno untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama dari isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing.

Salleh juga berkata penjelasan termasuk aspek keselamatan kepada mereka yang terjejas dengan insiden itu telah diberikan oleh pihaknya menerusi pelbagai aktiviti bersama masyarakat.

"Kita yakinkan kepada mereka bahawa tahap keselamatan berada di paras terbaik dan semakin pulih memandangkan pasukan keselamatan telah menumpaskan pengganas yang kini hanya tinggal saki-baki sahaja. Oleh itu pengundi tidak perlu takut dan bimbang," katanya.

Mengulas mengenai persiapan kempen dan jentera pilihan raya bagi kawasan Parlimen Silam dan kawasan Dewan Undangan Negeri di bawahnya iaitu Lahad Datu, Kunak dan Tungku yang semuanya dimenangi BN, Salleh berkata pihaknya kini berada dalam keadaan siap siaga dan hanya menunggu semboyan dibunyikan.

Dalam pada itu, Salleh berkata beliau akan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana calon yang diputuskan pucuk pimpinan parti sekiranya beliau tidak lagi terpilih sebagai calon untuk kawasan parlimen itu. - Bernama
 
Sumber: Sinar

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...