Monday, March 25, 2013

Gunakan hak mengundi dengan bijak - Tun M

KUALA LUMPUR 25 Mac - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu supaya bijak menentukan kerajaan dalam pilihan raya umum ini.

Menurutnya, walaupun sistem demokrasi menawarkan hak untuk memilih, mereka sewajarnya mampu membuat perbandingan khususnya parti atau organisasi mana yang benar-benar bertanggungjawab serta mempertahankan Islam.

"Apakah orang yang sewenang-wenangnya mengkafirkan orang Melayu patut memerintah negara? Dahulunya, pihak ini yang berkata bahawa bekerjasama dengan orang kafir akan menjadikan kita kafir, tetapi kini mereka bukan sahaja bekerjasama, hari jadi pun sambut di rumah orang bukan Islam.

"Akan datang, kalau kita silap, kita akan dapat kerajaan yang merosakkan negara dan agama. Kalimah Allah pun boleh diguna oleh apa jua agama. Apakah kita boleh terima itu? Kerana kepentingan politik, ketepikan negara Islam dan diganti dengan negara berkebajikan. Hudud pula ditangguhkan. Ini kerana apa? Ini hanya (kerana) undi dan bukannya kerana Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel sempena Forum Negara: Membina Peradaban Bangsa Melayu Berteraskan Tamadun Islam di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Forum anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) itu turut menampilkan dua lagi panel iaitu bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan pakar wakaf korporat, Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Dr. Mahathir berkata, sebagai keutamaan, orang Melayu perlu menaruh harapan kepada pihak yang telah lama berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Menurut beliau, ini berbanding pihak tertentu yang sekadar mahu merebut Putrajaya dan mendirikan kerajaan semata-mata atau pihak yang hendak menjadi Perdana Menteri.

"Sebab itu kita tidak boleh mengharapkan mereka untuk kembali kepada perjuangan asal iaitu demi agama, bangsa dan negara. Kita tak nampak apa mereka boleh buat untuk kita.

"Namun, terpulanglah kepada kita. Cuma, kalau kita salah mengundi, kita tidak boleh salahkan sesiapa," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau ketika bercakap mengenai perpecahan umat Melayu Islam berkata, perkara itu berpunca daripada sikap tamak selain perbezaan pendapat dalam hal-hal berkaitan tafsiran agama.

"Waktu kita miskin, biasanya kita akan rapat sesama kita. Sebab itu, masa British mencadangkan Malayan Union, kita rasa ini seperti mahu merampas negeri-negeri Melayu.

"Kita lupakan perbezaan antara kita dan bersatu sehingga British tunduk. Tetapi selepas berjaya, terhidang 'peninggalan perang' dan sesama kita mula memikirkan soal pangkat, nak jadi Perdana Menteri.

"Semua nak berebut. Inilah yang membuatkan kita lupa kepada perjuangan asal kita. Kita pentingkan diri sendiri. Di sini, kita menerima Islam dan fahaman Sunnah Wal Jamaah. Sepatutnya tidak ada perpecahan kerana fahaman yang sama, tetapi dengan politik, ada yang mula saling kafir-mengkafir. Kita sengaja melemahkan diri kita sendiri sehingga tidak lagi majoriti," katanya.

Sementara itu dalam sesi soal jawab, beliau menafikan dakwaan yang mengaitkannya sebagai seorang antihadis.

"Itu tak benar. Saya kata, kita perlu berpegang kepada al-Quran dan hadis-hadis yang sahih. Saya tekankan kalau hadis itu bertentangan dengan al-Quran, kita perlu berpandu kepada al-Quran. Sunnah kalau kita turut, dapat pahala, kalau tak turut, tak mengapa. Itu cuma sunat kepada kita sebaliknya yang wajib kita ikut datangnya daripada al-Quran.

"Ramai yang mudah terima hadis tetapi menolak al-Quran. Itu sebab ramai yang keliru dan berpecah," tambahnya. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130325/dn_49/Gunakan-hak-mengundi-dengan-bijak---Tun-M#ixzz2OYCoYNoG
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...