Friday, March 08, 2013

Mengimbangi Laporan Ketua Audit Negara 2011

Menarik sekali. Jika anda mendengar apa yang hangat diperkatakan oleh ahli-ahli parlimen pembangkang di Parlimen minggu lepas, sudah pasti anda terfikir bahawa Laporan Ketua Audit Negara hanya tertumpu kepada kebocoran dan pembaziran di negeri-negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional semata-mata.

Hakikatnya jauh panggang dari api.

Usaha saya untuk mengimbangi lapuran audit 2011 secara mendedahkan salah urus di negeri-negeri Pakatan, telah disambut dengan bantahan keras di dalam Dewan yang dihormati ini. Tidak kurang daripada lima orang ahli parlimen pembangkang bangun untuk menghalang saya menghabiskan ucapan. Tidak mengapalah. Laporan Hansard tidak pernah berbohong. Apabila kacau-bilau berjaya menghalang saya dari bercakap, maka saya ambil keputusan untuk menulis analisa ini untuk menyampaikan kepada masyarakat bahawa kehidupan di negeri-negeri Pakatan tidaklah seindah yang mereka gambarkan.


Kelantan

Ayuh kita lihat kepada salah urus yang besar dalam Program Ladang Rakyat oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Program ini bukanlah sebuah program yang kecil. Ia melibatkan sejumlah 19 buah projek kesemuanya, dan meliputi kawasan seluas 81,095 ekar (satu setengah kali keluasan Kuala Lumpur sebenarnya!).

Projek ini pada mulanya telah dirancang untuk membantu golongan miskin negeri Kelantan dengan menjanjikan dividen dan gaji bulanan sebanyak RM200 dan RM700. Selain daripada itu, projek ini mensasar untuk menyediakan tempat tinggal percuma dan merangsang kadar guna tenaga tempatan. Namun pastinya, janji-janji ini tidak ditepati. Golongan miskin yang meletakkan harapan yang tinggi ke atas program ini masih lagi hidup dalam status quo.

Apabila dua buah projek di bawah program ini gagal mencapai sasaran, Kerajaan Negeri Kelantan melalui Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat (PPLRK) telah memajak 17 buah projek yang selebihnya (keluasan tanah terlibat adalah 76,780 ekar) kepada 16 buah syarikat yang terpilih.

Namun seperti yang telah dijelaskan secara terperinci dalam Laporan Ketua Audit Negara, tiada jawatankuasa khusus telah ditubuhkan untuk menilai kebolehan atau prestasi silam 16 buah syarikat tersebut. Apa yang lebih teruk lagi adalah apabila kesemua 16 buah syarikat tersebut telah dicadangkan oleh tidak lain tidak bukan CEO PPLRK sendiri! Alangkah seronoknya dapat menguasai empayar sendiri – pada hematsaya.

Untuk mengeruhkan lagi masalah, analisa audit terhadap perjanjian bersama syarikat-syarikat ini telah menunjukkan bahawa syarat perjanjian terbukti berat sebelah dan tidak menyebelahi kepentingan-kepentingan kerajaan negeri.

Sebagai contoh, dalam tempoh pajakan selama 20 tahun itu, syarikat-syarikat tersebut dikatakan bakal memperolehi keuntungan bersih berjumlah RM1.6 bilion. Walaubagaimanapun, mereka hanya perlu membayar kepada Kerajaan Negeri Kelantan sejumlah RM421 juta dalam bentuk bayaran pajakan. Anggaran keuntungan bersih 16 buah syarikat ini adalah setinggi RM59 juta setahun untuk tempoh 20 tahun yang akan datang!

Dan siapa pula pemegang-pemegang kepentingan dalam Liziz Standaco Sdn Bhd? Dalam satu lagi kontroversi tanah di Kelantan, Laporan Ketua Audit Negara mempersoalkan langkah Kerajaan Negeri Kelantan menawarkan 1,000 ekar tanah kepada Liziz Standaco pada tahun 2003. Ini sepatutnya untuk sebuah projek pembangunan dan pengindahan tebing sungai selama 12 tahun.

Berlandaskan tawaran itu, Liziz Standaco harus membayar semula RM389.09 juta kepada Kerajaan Negeri. Namun di dalam Laporan Ketua Audit Negara, Kerajaan Negeri Kelantan telah hanya menerima sejumlah kecil pembayaran RM45.7 juta sehingga ke hari ini. Baki berjumlah RM343.4 juta masih lagi belum dibayar pada waktu analisa ini dikarang.

Kebimbangan juga memuncak apabila Laporan Ketua Audit Negara menyatakan bahawa Liziz Standaco telah meletakkan 13.52 ekar tanah yang dimaksudkan itu sebagai cagaran demi mendapatkan pinjaman berjumlah RM75 juta. Walaupun kita tidak tahu dengan jelas samada Liziz Standaco telah menggunakan sebahagian daripada pinjaman RM75 juta itu untuk membayar RM45.7 juta kepada Kerajaan Negeri, kita boleh dalam banyak cara mengandaikan bahawa syarikat tersebut bukanlah sebuah syarikat yang baik danmampu membawa projek ini ke arah kejayaan.


Kedah

Kini, kita alihkan tumpuan kita ke Kedah pula. Secara kebetulan, sekitar waktu yang sama ketika National Feedlot Corporation yang dipenuhi kontroversi memulakan perniagaan ternakannya, sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Kedah, Kedah Corporation Berhad, telah memeterai satu perjanjian usaha sama yang besar bersama sebuah syarikat dari Australia untuk menternak dan mengimport lembu-lembu dari negara tersebut. KCB telah membayar RM1 juta kepada rakan kongsi pilihannya itu sejurus selepas perjanjian dimeterai. Malangnya, projek ternakan lembu yang dipenuhi kontroversi sejak awal lagi ini tidak pernah dapat dilaksanakan.

Mungkin sesetengah pihak boleh membidas betapa RM1 juta yang dibelanjakan oeh KCB ini tidaklah sebesar RM250 juta yang dibelanjakan oleh NFC. Saya langsung tidak bersetuju. Pembaziran, tidak kiralah apa pun nama yang kita beri, adalah tetap satu pembaziran -- terutamanya untuk sebuah ekonomi kecil seperti Kedah.

Sekiranya kita berkeras untuk bergantung kepada angka dan statistik, maka RM1 juta yang terlibat dalam kes ini adalah pada kadar 0.10% daripada Bajet Kerajaan Negeri Kedah untuk tahun 2011 yang berjumlah RM1 bilion. Dilihat dari perspektif ini, kita dapati bahawa 0.10% adalah pada tahap yang sama seperti 0.11% pembaziran NFC daripada RM230 bilion bajet Persekutuan.

KCB juga diselar apabila ia membuat pembayaran besar ke atas dua buah projek yang gagal. Bayaran pertama melibatkan sejumlah RM4.26 juta kepada sebuah syarikat di Papua New Guinea untuk sebuah projek kelapa sawit yang akhirnya menemui kegagalan. Bayaran kedua melibatkan RM1.6 juta kepada sebuah syarikat perunding untuk "mengatur" pinjaman persisiran berjumlah USD44 juta yang telah diperuntukkan untuk membiayai pelaburan di Papua New Guinea itu.

Selain gagal untuk mendapatkan pinjaman USD44 juta itu (yang telah menggugat projek tersebut), KCB tetap meneruskan projek ini dengan meminjam sejumlah RM3 juta dari tiga buah syarikat tempatan. Paling mengejutkan adalah apabila pinjaman ini dibuat tanpa kelulusan pihak Lembaga Pengarahnya sendiri!

Sementara itu, Laporan Ketua Audit Negara telah juga membidas Perbadanan Menteri Besar Kedah kerana membayar sejumlah RM1,500 untuk pembaikan kotak agihan elektrik yang longgar di setiap unit dalam projek perumahan awam kos rendahnya. Memang tepat sekali! Pihak Kerajaan Persekutuan telah meluluskan harga tetap pada RM15.45 setiap unit. Perbezaan setiap unit dalam kes ini adalah berjumlah RM1,484.55.

Perbadanan Menteri Besar Kedah juga telah terlebih bayar (pada kadar 31 kali) untuk soket-soket tenaga di projek-projek perumahan awam kos rendahnya. Mereka telah membayar RM1,500 untuk setiap unit walaupun harga pasaran yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan adalah hanya RM50.18 seunit. Pengiraan mudah akan menunjukkan lebihan pembayaran sejumlah RM1,449.82 untuk setiap unit.


Selangor

Akhir sekali, kita lihat pula kepada Selangor. Skim Tabung Anak Wawasan Selangor (TAWAS) yang digembar-gemburkan tanpa henti akhirnya mati begitu sahaja apabila Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan bahawa skim ini tidak mendapat pembiayaan yang sepatutnya dan telah gagal menepati janji-janjinya. Janji untuk memberikan RM100 dalam bentuk simpanan tetap kepada setiap bayi baru lahir di negeri Selangor hanya kekal menjadi sebuah janji kosong.

Sejak penubuhannya pada tahun 2008, 19.4% (60,972) daripada 313,706 anak kelahiran Selangor telah memohon mendapatkan skim ini. Daripada 60,972 permohonan, hanya sebanyak 21,918 permohonan telah diluluskan.

Selangor telah memperuntukkan RM13.5 juta untuk TAWAS. Namun daripada jumlah ini, kira-kira RM4.5 juta adalah untuk kos operasi, manakala baki RM8 juta pula adalah jumlah sebenar untuk program ini.

Dalam sektor pendidikan, pihak kerajaan Selangor telah mengalami kerugian berjumlah RM39.69 juta dalam tahun 2010, dan RM13.56 juta melalui Pendidikan Industri YS Sdn Bhd (PIYSB) iaitu syarikat yang menjalankan operasi UNISEL.

Ini adalah contoh-contoh kebocoran dan pembaziran dalam negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat. Sekiranya anda membaca Laporan Ketua Audit Negara dengan lebih mendalam, anda akan menemui banyak lagi contoh-contoh sebegini.


Melangkah ke hadapan

Ketika Pilihanraya Umum Ke-13 semakin menghampiri kita, Pakatan Rakyat telah menguatkan lagi usaha mereka untuk menawan undi-undi di Sabah dan Sarawak. Memang tidak dapat dinafikan bahawa 56 kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak akan menjadi pertaruhan mutlak untuk kedua-dua Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat. Maka tidak hairanlah bila Pakatan telah melancarkan misi untuk menyerang dan mengacau-bilaukan pentadbiran di kedua-dua negeri ini.

Malangnya, serangan ke atas prestasi Sabah dan Sarawak terbukti sia-sia apabila setiap tahun laporan Ketua Audit Negara menunjukkan kedua-dua negeri sering membawa prestasi yang baik dalam pengurusan kewangan dan polisi-polisi fiskalnya.

Dalam laporan terkini untuk tahun 2011, Ketua Audit Negara telah menganugerahkan ulasan "sangat baik" hanya kepada sebuah negeri iaitu Sarawak. Sementara itu, Sabah pula terus mengekalkan status kedua terbaik iaitu "baik" dari tahun-tahun sebelum ini.

Akaun-akaun dana disatukan untuk 2011 bagi kerajaan-kerajaan negeri Sabah dan Sarawak adalah yang paling tinggi dalam kalangan negeri-negeri, iaitu RM18.5 bilion untuk Sarawak dan RM2.66 bilion untuk Sabah. Selangor jatuh di tempat ketiga dengan RM1.94 bilion sementara Pulau Pinang pula pada tempat keempat dengan RM1.13 bilion.

Sekiranya kita melihat kepada statistik pendapatan negeri untuk tahun 2011, Sarawak menduduki tempat pertama dengan RM6.6 bilion, diikuti oleh Sabah pada tempat kedua dengan RM4.4 bilion, Selangor di tempat keempat dengan RM1.6 bilion dan Pulaiu Pinang di tempat ketujuh dengan RM602 juta.

Artikel ini bukanlah bertujuan untuk menyembunyikan kebocoran dan pembaziran dalam negeri-negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional. Memang tidak dapat dinafikan, wujud juga kebocoran dan pembaziran yang jelas dalam negeri-negeri Barisan.

Apa yang saya mahu jelaskan dengan menulis artikel ini adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat umum bahawa kebocoran dan pembaziran ini bukan hanya berlaku di negeri-negeri Barisan semata; kerajaan-kerajaan negeri di bawah pentadibran Pakatan Rakyat juga bertanggungjawab terhadap pembaziran yang turut berlaku di negeri mereka.


Sumber: MPKotaBelud

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...