Sabah bertuah kerana dipimpin oleh Datuk Seri Musa Hj. Aman yang bijak mengurus kewangan negeri, kata wakil Pemuda Umno Sabah, Bahrul Razha Hj. Chuprat.
Beliau berkata, Ketua Menteri Sabah juga seorang yang bervisi jauh dan selalu mendidik anggota Umno supaya ikhlas dalam perjuangan.
Katanya, kepimpinan Ketua Menteri dapat dilihat melalui kestabilan ekonomi di negeri itu, antaranya harga hartanah sentiasa meningkat dan Bajet Negeri 2013 yang terbaik dengan peruntukan RM4.088 bilion.
“Selain itu, dengan pengurusan kewangan yang baik, pendapatan kerajaan konsisten RM3.8 bilion setiap tahun (2009-2012), rizab wang RM3 billion, Laporan Perbendaharaan Negara (AG): Sabah pengurusan kewangan terbaik dan berjaya mendapat anugerah Clean Bill selama 12 tahun berturut-turut.
“Pengurusan kewangan yang cemerlang juga berjaya menarik ramai pelabur datang ke Sabah. Setakat Jun 2012, 24 syarikat diluluskan untuk melabur di Sabah dengan nilai pelaburan RM4.86 bilion yang pastinya akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan baru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Agong Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, di sini, kelmarin.
Bahrul berkata, Pemuda Sabah akan terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mampu mentransformasikan negara, politik Umno/ Barisan Nasional (BN) dan landskap politik negara.
Oleh itu beliau menyeru Pemuda Sabah supaya bekerja habis-habisan untuk memastikan kememangan besar BN, pada pilihan raya akan datang seterusnya mengekalkan kepimpinan negeri dan negara sedia ada.
“Jentera pilihan raya terutamanya Pemuda Umno Sabah kini telah bersiap sedia untuk berperang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13),” katanya.
Beliau yakin, Sabah akan kekal simpanan tetap BN berdasarkan kepimpinan Ketua Menteri yang kukuh dan sokongan padu semua parti komponen BN di negeri itu.
Bahrul berkata, pembangkang hanya tahu menabur janji kepada rakyat tetapi tidak dapat menunaikannya.
“Ramai pemimpin pembangkang yang hanya sekarang kerap kali datang ke Sabah untuk berkempen berjanji bulan dan bintang, semata-mata mahu meraih simpati daripada rakyat.
“Klon pembangkang yang baru pula, dulu dalam kerajaan tidak komplen sekarang luar kerajaan baru kuat komplen ibarat meludah ke langit terkena muka sendiri.
“Tetapi saya yakin rakyat kini lebih bijak menilai prestasi kerajaan BN dan menolak pembangkang,” katanya.
Sumber: SABAH