Wednesday, May 01, 2013

ATM Nafi Bawa Pengundi Hantu Ke Semenanjung. #PRU13


LAHAD DATU - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya ia membawa pengundi hantu, termasuk anggota tentera dan polis, dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin hari ini menyifatkan dakwaan itu sengaja diada-adakan oleh pihak tertentu bagi mencemar imej pasukan keselamatan.

Beliau meminta pihak berkenaan supaya menghentikan perbuatan fitnah mereka yang tidak berasas itu yang dipercayai dibuat semata-mata untuk meraih sokongan semasa pilihan raya umum ini.

"Tuduhan melulu sesetengah pihak termasuk dakwaan kononnya ATM dipengaruhi parti politik dalam pilihan raya, menyebabkan imej ATM tercemar. Hentikan serangan politik yang tidak sihat dan jangan sekali-kali membabitkan ATM kerana ia boleh memberi kesan negatif terhadap negara dan rakyat," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Tan Sri Khalid Ibrahim kononnya ATM cuba membawa masuk pengundi hantu, termasuk anggota tentera dan polis dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia.

Khalid pada sidang media baru-baru ini dilaporkan sebagai mendakwa terdapat penerbangan khas dari Sabah Sarawak yang mendarat di lokasi tertentu, bukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Lapangan Terbang Tambang Rendah (LCCT) yang dikatakan membawa pengundi hantu berdasarkan kononnya risikanpakatan pembangkang.

Zulkifeli yang kesal dengan perbuatan itu berkata ATM merupakan institusi berkecuali yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik di negara ini.

"Sebagai badan profesional, kami menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan negara daripada sebarang anasir yang mengganggu ketenteraman awam.

"Atas tugas dan tanggungjawab itu juga ada antara anggota kita terkorban," katanya.- Bernama



Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...