Showing posts with label Pakatan Rakyat. Show all posts
Showing posts with label Pakatan Rakyat. Show all posts

Saturday, March 23, 2013

Anwar tidak layak tadbir negara, kata Taib Mahmud



23 Mac 2013

KUCHING - Tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seringkali membawa pihak luar untuk campur tangan dalam perjalanan politik negara jelas membuktikan beliau tidak layak mentadbir negara, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata apa yang dilakukan ketua pembangkang itu sudah melampau dan tidak menggambarkan ciri sebenar rakyat Malaysia yang cintakan negara.

"Rakyat dahulu berjuang untuk capai kemerdekaan kerana kita tidak mahu orang luar campur tangan dalam politik kita, tetapi malangnya ada pula pemimpin yang kononnya 'champion' di peringkat antarabangsa seolah mahu sejarah penjajahan berulang semula.

Dia bawa orang luar dan pengaruhi mereka, kemudian mereka 'condemn' Malaysia bukan negara yang baik.

"Dia tidak layak tadbir negara (Malaysia), tindakan dia yang dilihat terlalu bergantung kepada nasihat orang luar, pentingkan penyokong-penyokong di luar negara, membawa NGO luar untuk campur tangan dalam politik negara, jelas tindakannya itu tidak baik untuk Malaysia dan Sarawak amnya," katanya ketika berucap merasmikan dewan serbaguna baharu Kampung Lintang, Petra Jaya berharga RM1 juta dekat sini hari ini.

Taib berkata rakyat yang cintakan negara tidak akan memburukkan negara sendiri, namun sebaliknya berlaku kepada pemimpin pembangkang itu.

"Kita tidak mahu dipengaruhi pihak luar lagi, kita tidak mahu terus bersama satu golongan yang bawa orang luar, dan cuba cetuskan kekecohan ala 'Arab Spring', itu semua kita tidak mahu. Kita mahu negeri maju, dan rakyat mahu kerajaan yang telah bawa banyak kemajuan," katanya.

Taib berkata politik diamalkan pembangkang dengan terus-menerus membawa orang luar, nyata berbeza daripada politik yang diamalkan Barisan Nasional (BN).

"Ini bukti perbezaan politik BN berbanding pembangkang, kita (BN) tidak burukkan negara sendiri, atau timbulkan isu seperti hutan di Sarawak sudah gondol sedangkan fakta tersebut tidak betul.

"Jika dibandingkan ketua pembangkang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula, saya lebih percaya Perdana Menteri akan bawa kemajuan kepada Malaysia kerana beliau telah mendapat didikan terbaik dalam soal membawa pembangunan kepada negara ini," katanya. - Bernama

Sumber: SinarHarian

Thursday, March 21, 2013

TERKINI : PEMBOHONGAN NUR MISUARI SELAMA INI TERHADAP KERAJAAN MALAYSIA TERBONGKAR.


Akhirnya pembohongan Nur Misuari menuduh Kerajaan Malaysia yang menjadi penghalang kepada usaha menyatukan kumpulan Moro yang bertelagah menuntut kemerdekaan di selatan Filipina terbongkar..

Ikuti pendedahan yang dibuat oleh Mohammad Ameen, Ketua Sekretariat MILF mengenai niat jahat Nur Misuari terhadap Kerajaan Malaysia..


Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menolak dakwaan bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari kononnya Kerajaan Malaysia telah menggunakan MILF bagi memperkukuh tuntutannya ke atas Sabah dan bertanggungjawab mendorong perpecahan di kalangan rakyat Moro.

Ketua Sekretariat MILF, Mohammad Ameen berkata, dakwaan itu adalah satu pembohongan dan palsu semata-mata.

"Misuari melakukan dosa berat kerana membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan cuai terhadap MILF dan kerajaan Malaysia," beliau disebut sebagai berkata oleh Pusat Berita Luwaran.

Serangan lisan terbaru Misuari itu disiarkan oleh Al-Jazeera, YouTube dan beberapa media arus perdana Malaysia di Kuala Lumpur semalam.

Ameen mengingatkan Misuari bahawa Malaysialah yang telah menggesa pembentukan Persidangan Perpaduan Bangsamoro (BSC) pada 2002 demi menyatukan pelbagai puak dalam MNLF dan MILF dan menggalakkan pendirian bersama di kalangan mereka terutama untuk berurusan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

"Bagaimana pula boleh menggunakan MILF bagi mengukuhkan tuntutannya ke atas Sabah, bila Sabah tidakpun menjadi sebahagian daripada agenda rundingan damai sejak 2001?" kata Ameen.

Ameen turut memberitahu Misuari bahawa Malaysia tidak pernah menawarkan diri untuk mengatur rundingan damai Kerajaan Filipina-MILF (GPH-MILF), tetapi Presiden Gloria Macapagal-Arroyo pada 2001 yang meminta Malaysia bertindak sebagai orang tengah antara dua pihak berkenaan setelah rundingan diadakan semula, selepas Presiden Joseph Estrada melancarkan perang terhadap MILF pada tahun 2000.

Presiden Arroyo, dalam lawatan luar negaranya yang pertama sejak menjadi presiden selepas penggulingan Presiden Estrada, telah berkunjung ke Kuala Lumpur untuk secara rasmi meminta Malaysia mengatur rundingan damai GPH-MILF.

"Malaysia setakat memberi respon ikhlas terhadap permintaan jiran yang baik," jelas beliau.

Ameen juga mempersoal niat Misuari yang begitu beria-ia menyokong tuntutan Sabah sekarang sedangkan beliau tidak pernah menimbulkan isu itu sepanjang 21 tahun rundingan damainya dengan kerajaan Filipina.

Sementara Perjanjian Damai Muktamad Kerajaan Republik Filipina-MNLF (GRP-MNLF) pada 1996 tidak pernah merujuk kepada tuntutan Sabah. - BERNAMA

Tuesday, March 19, 2013

Sabah Selama-Lamanya Wilayah Malaysia, Tegas Najib

images

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menegaskan bahawa negeri Sabah selama-lamanya adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.

Untuk itu, beliau berkata rakyat Sabah adalah warganegara Malaysia dan kerajaan akan tetap mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia daripada sebarang pencerobohan.
“Kita tidak akan membenarkan barang seinci pun bumi Malaysia dirampas oleh sesiapa. Inilah komitmen kerajaan yang ada hari ini,” katanya ketika membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata, insiden keganasan di Lahad Datu, Sabah menjadi semboyan peringatan kepada negara agar tidak sekali-kali mengambil mudah soal keselamatan.

“Keamanan dan kestabilan yang berpanjangan tidak harus menjadi sebab ketumpulan tahap kita berwaspada.

“Tragedi ini telah pun mengorbankan nyawa 10 orang anggota pasukan keselamatan negara. Lapan orang daripada pasukan Polis Diraja Malaysia dan mutakhir dua anggota tentera,” katanya.

Perdana menteri berkata pengorbanan pahlawan-pahlawan negara itu bukan kecil dan bukan untuk diperlekeh, sebaliknya hasil pengorbanan mereka sepertimana pada era darurat dan insurgensi membolehkan rakyat Malaysia menikmati kemajuan dan kemakmuran sehingga hari ini.

Sehubungan itu, Najib mengingatkan pihak-pihak tertentu yang cuba untuk memperkecilkan sumbangan anggota keselamatan agar belajar mengenang budi dan berterima kasih atas jasa dan bakti mereka yang telah berjuang demi tanah air tercinta.

“Kenanglah ibu bapa yang meniti hari tua tanpa mereka lagi di sisi, kenangilah isteri-isteri yang menjadi balu serta anak-anak yang kehilangan belai manja bapanya.

“Kepada mereka kita berjanji bahawa negara ini akan sentiasa memuliakan bakti serta pengorbanan itu,” katanya. – Bernama

Sunday, March 17, 2013

Isu Lahad Datu tangguhkan PRU 13??

Isu Lahad Datu tangguhkan PRU 13??

datuk hamza

LAHAD DATU – Gerakan menjejaki pengganas Sulu tetap akan diteruskan di kawasan musuh di sini walaupun pada waktu pilihan raya umum dijalankan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, dalam hal keselamatan, pasukan keselamatan tidak boleh berkompromi dengan apa jua keadaan.

“Tidak kira pilihan raya berlaku dalam masa terdekat ini, kalau kami dikehendaki berada di sini (Lahad Datu), kami akan terus berada di sini,” tegasnya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau memberitahu, pasukan keselamatan juga tidak pernah menetapkan tempoh dalam menamatkan isu pencerobohan sekumpulan pengganas Sulu di Sabah sejak 12 Februari lalu. Menurut Hamza, matlamat utama Ops Daulat ketika ini adalah menjejak saki-baki pengganas yang dipercayai tinggal seramai 50 orang selain membersihkan kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk yang berada dalam gugusan Tanjung Labian. – Kosmo
 
Sumber: KL Post

Saturday, March 16, 2013

Terkini Isu Lahad Datu: Kerajaan Filipina Temui Bukti Dalang Pencerobohan

DR. Ahmad Zahid Hamidi bersama anggota-anggota tentera pada majlis perjumpaan dengan warga tentera
kawasan Taiping di Kem Rejimen Ketiga Artileri Diraja, Kamunting, Taiping, Perak, semalam. - BERNAMA

Kerajaan Filipina menemui beberapa bukti mengenai penglibatan tokoh pembangkang di negara itu yang dipercayai membiayai keluarga Jamalul Kiram III, pemimpin kumpulan pengganas yang bertanggungjawab dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu didedahkan oleh Setiausaha Pertahanan Filipina, Voltaire T. Gazmin yang mengunjungi beliau di Putrajaya, semalam.

Ahmad Zahid berkata, Gazmin dalam pertemuan itu turut menyatakan komitmen Manila untuk melakukan apa sahaja bagi membantu Kuala Lumpur mengenal pasti dalang sama ada di Filipina, Malaysia atau pihak ketiga yang terlibat dalam pencerobohan tersebut.

“Beliau (Gazmin) menyatakan Filipina akan menggunakan segala jaringan maklumat termasuk perisikan untuk mengetahui siapakah dalang di belakang pencerobohan ini. Mereka juga sedang mengumpul bukti-bukti,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Kem Rejimen Ketiga Artileri Diraja, Kamunting di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe; Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie dan Panglima Dua Briged, Brig. Jeneral Datuk Md. Dzahir Abd. Rashid.

Ahmad Zahid berkata, berdasarkan maklumat perisikan Filipina, aktiviti Jamalul Kiram III dibiayai pihak tertentu untuk kepentingan politik.

Menurutnya, dengan keadaan kesihatan dan ketidakmampuan dalam segi kewangan, ketua kumpulan pengganas itu tidak mungkin dapat menggerakkan bala tenteranya untuk melakukan pencerobohan bersenjata di Sabah.

“Persoalannya, siapa yang membiayai senjata, penghantaran dan pembelian aset lain sehingga mengizinkan pencerobohan militan di Sabah? Bukti-bukti sedang dikumpulkan termasuklah penglibatan anak Jamalul Kiram, Jacel yang cergas bergerak berulang-alik menggunakan jet peribadi.

“Kita diberitahu bahawa ada tokoh pembangkang di negara itu yang membiayai kos perjalanan itu. Ini dipercayai mempunyai kaitan dengan usaha pembangkang yang sedang bergerak cergas dengan menjadikan isu pencerobohan di Lahad Datu sebagai modal politik menjatuhkan kerajaan,” katanya.

Ditanya sama ada perbincangan dengan Gazmin ada menyentuh kemungkinan Jamalul Kiram III akan didakwa di Malaysia, Ahmad Zahid berkata, walaupun tiada perjanjian ekstradisi antara kedua-dua negara, beliau yakin, Manila akan bekerjasama memastikan pemimpin militan itu diheret ke muka pengadilan.

Pada masa sama, jelas beliau, Filipina akan mengambil tindakan undang-undang ke atas semua anggota pengganas Sulu termasuk 35 orang yang ditahan ketika cuba kembali ke Filipina dari Sabah semalam.

Portal berita Filipina, Inquirer News sebelum ini memetik sumber perisikan bahawa terdapat tiga kumpulan yang menjadi dalang pencerobohan Sabah sejak 12 Februari lalu yang akhirnya membawa kepada tragedi berdarah.

Pada 14 Februari lalu pula, agensi berita antarabangsa, Reuters yang memetik kenyataan seorang pegawai tinggi tentera Filipina mendakwa, pencerobohan kumpulan bersenjata tersebut berlaku atas jemputan pemimpin pembangkang di negara ini.

Friday, March 08, 2013

Mengimbangi Laporan Ketua Audit Negara 2011

Menarik sekali. Jika anda mendengar apa yang hangat diperkatakan oleh ahli-ahli parlimen pembangkang di Parlimen minggu lepas, sudah pasti anda terfikir bahawa Laporan Ketua Audit Negara hanya tertumpu kepada kebocoran dan pembaziran di negeri-negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional semata-mata.

Hakikatnya jauh panggang dari api.

Usaha saya untuk mengimbangi lapuran audit 2011 secara mendedahkan salah urus di negeri-negeri Pakatan, telah disambut dengan bantahan keras di dalam Dewan yang dihormati ini. Tidak kurang daripada lima orang ahli parlimen pembangkang bangun untuk menghalang saya menghabiskan ucapan. Tidak mengapalah. Laporan Hansard tidak pernah berbohong. Apabila kacau-bilau berjaya menghalang saya dari bercakap, maka saya ambil keputusan untuk menulis analisa ini untuk menyampaikan kepada masyarakat bahawa kehidupan di negeri-negeri Pakatan tidaklah seindah yang mereka gambarkan.


Kelantan

Ayuh kita lihat kepada salah urus yang besar dalam Program Ladang Rakyat oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Program ini bukanlah sebuah program yang kecil. Ia melibatkan sejumlah 19 buah projek kesemuanya, dan meliputi kawasan seluas 81,095 ekar (satu setengah kali keluasan Kuala Lumpur sebenarnya!).

Projek ini pada mulanya telah dirancang untuk membantu golongan miskin negeri Kelantan dengan menjanjikan dividen dan gaji bulanan sebanyak RM200 dan RM700. Selain daripada itu, projek ini mensasar untuk menyediakan tempat tinggal percuma dan merangsang kadar guna tenaga tempatan. Namun pastinya, janji-janji ini tidak ditepati. Golongan miskin yang meletakkan harapan yang tinggi ke atas program ini masih lagi hidup dalam status quo.

Apabila dua buah projek di bawah program ini gagal mencapai sasaran, Kerajaan Negeri Kelantan melalui Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat (PPLRK) telah memajak 17 buah projek yang selebihnya (keluasan tanah terlibat adalah 76,780 ekar) kepada 16 buah syarikat yang terpilih.

Namun seperti yang telah dijelaskan secara terperinci dalam Laporan Ketua Audit Negara, tiada jawatankuasa khusus telah ditubuhkan untuk menilai kebolehan atau prestasi silam 16 buah syarikat tersebut. Apa yang lebih teruk lagi adalah apabila kesemua 16 buah syarikat tersebut telah dicadangkan oleh tidak lain tidak bukan CEO PPLRK sendiri! Alangkah seronoknya dapat menguasai empayar sendiri – pada hematsaya.

Untuk mengeruhkan lagi masalah, analisa audit terhadap perjanjian bersama syarikat-syarikat ini telah menunjukkan bahawa syarat perjanjian terbukti berat sebelah dan tidak menyebelahi kepentingan-kepentingan kerajaan negeri.

Sebagai contoh, dalam tempoh pajakan selama 20 tahun itu, syarikat-syarikat tersebut dikatakan bakal memperolehi keuntungan bersih berjumlah RM1.6 bilion. Walaubagaimanapun, mereka hanya perlu membayar kepada Kerajaan Negeri Kelantan sejumlah RM421 juta dalam bentuk bayaran pajakan. Anggaran keuntungan bersih 16 buah syarikat ini adalah setinggi RM59 juta setahun untuk tempoh 20 tahun yang akan datang!

Dan siapa pula pemegang-pemegang kepentingan dalam Liziz Standaco Sdn Bhd? Dalam satu lagi kontroversi tanah di Kelantan, Laporan Ketua Audit Negara mempersoalkan langkah Kerajaan Negeri Kelantan menawarkan 1,000 ekar tanah kepada Liziz Standaco pada tahun 2003. Ini sepatutnya untuk sebuah projek pembangunan dan pengindahan tebing sungai selama 12 tahun.

Berlandaskan tawaran itu, Liziz Standaco harus membayar semula RM389.09 juta kepada Kerajaan Negeri. Namun di dalam Laporan Ketua Audit Negara, Kerajaan Negeri Kelantan telah hanya menerima sejumlah kecil pembayaran RM45.7 juta sehingga ke hari ini. Baki berjumlah RM343.4 juta masih lagi belum dibayar pada waktu analisa ini dikarang.

Kebimbangan juga memuncak apabila Laporan Ketua Audit Negara menyatakan bahawa Liziz Standaco telah meletakkan 13.52 ekar tanah yang dimaksudkan itu sebagai cagaran demi mendapatkan pinjaman berjumlah RM75 juta. Walaupun kita tidak tahu dengan jelas samada Liziz Standaco telah menggunakan sebahagian daripada pinjaman RM75 juta itu untuk membayar RM45.7 juta kepada Kerajaan Negeri, kita boleh dalam banyak cara mengandaikan bahawa syarikat tersebut bukanlah sebuah syarikat yang baik danmampu membawa projek ini ke arah kejayaan.


Kedah

Kini, kita alihkan tumpuan kita ke Kedah pula. Secara kebetulan, sekitar waktu yang sama ketika National Feedlot Corporation yang dipenuhi kontroversi memulakan perniagaan ternakannya, sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Kedah, Kedah Corporation Berhad, telah memeterai satu perjanjian usaha sama yang besar bersama sebuah syarikat dari Australia untuk menternak dan mengimport lembu-lembu dari negara tersebut. KCB telah membayar RM1 juta kepada rakan kongsi pilihannya itu sejurus selepas perjanjian dimeterai. Malangnya, projek ternakan lembu yang dipenuhi kontroversi sejak awal lagi ini tidak pernah dapat dilaksanakan.

Mungkin sesetengah pihak boleh membidas betapa RM1 juta yang dibelanjakan oeh KCB ini tidaklah sebesar RM250 juta yang dibelanjakan oleh NFC. Saya langsung tidak bersetuju. Pembaziran, tidak kiralah apa pun nama yang kita beri, adalah tetap satu pembaziran -- terutamanya untuk sebuah ekonomi kecil seperti Kedah.

Sekiranya kita berkeras untuk bergantung kepada angka dan statistik, maka RM1 juta yang terlibat dalam kes ini adalah pada kadar 0.10% daripada Bajet Kerajaan Negeri Kedah untuk tahun 2011 yang berjumlah RM1 bilion. Dilihat dari perspektif ini, kita dapati bahawa 0.10% adalah pada tahap yang sama seperti 0.11% pembaziran NFC daripada RM230 bilion bajet Persekutuan.

KCB juga diselar apabila ia membuat pembayaran besar ke atas dua buah projek yang gagal. Bayaran pertama melibatkan sejumlah RM4.26 juta kepada sebuah syarikat di Papua New Guinea untuk sebuah projek kelapa sawit yang akhirnya menemui kegagalan. Bayaran kedua melibatkan RM1.6 juta kepada sebuah syarikat perunding untuk "mengatur" pinjaman persisiran berjumlah USD44 juta yang telah diperuntukkan untuk membiayai pelaburan di Papua New Guinea itu.

Selain gagal untuk mendapatkan pinjaman USD44 juta itu (yang telah menggugat projek tersebut), KCB tetap meneruskan projek ini dengan meminjam sejumlah RM3 juta dari tiga buah syarikat tempatan. Paling mengejutkan adalah apabila pinjaman ini dibuat tanpa kelulusan pihak Lembaga Pengarahnya sendiri!

Sementara itu, Laporan Ketua Audit Negara telah juga membidas Perbadanan Menteri Besar Kedah kerana membayar sejumlah RM1,500 untuk pembaikan kotak agihan elektrik yang longgar di setiap unit dalam projek perumahan awam kos rendahnya. Memang tepat sekali! Pihak Kerajaan Persekutuan telah meluluskan harga tetap pada RM15.45 setiap unit. Perbezaan setiap unit dalam kes ini adalah berjumlah RM1,484.55.

Perbadanan Menteri Besar Kedah juga telah terlebih bayar (pada kadar 31 kali) untuk soket-soket tenaga di projek-projek perumahan awam kos rendahnya. Mereka telah membayar RM1,500 untuk setiap unit walaupun harga pasaran yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan adalah hanya RM50.18 seunit. Pengiraan mudah akan menunjukkan lebihan pembayaran sejumlah RM1,449.82 untuk setiap unit.


Selangor

Akhir sekali, kita lihat pula kepada Selangor. Skim Tabung Anak Wawasan Selangor (TAWAS) yang digembar-gemburkan tanpa henti akhirnya mati begitu sahaja apabila Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan bahawa skim ini tidak mendapat pembiayaan yang sepatutnya dan telah gagal menepati janji-janjinya. Janji untuk memberikan RM100 dalam bentuk simpanan tetap kepada setiap bayi baru lahir di negeri Selangor hanya kekal menjadi sebuah janji kosong.

Sejak penubuhannya pada tahun 2008, 19.4% (60,972) daripada 313,706 anak kelahiran Selangor telah memohon mendapatkan skim ini. Daripada 60,972 permohonan, hanya sebanyak 21,918 permohonan telah diluluskan.

Selangor telah memperuntukkan RM13.5 juta untuk TAWAS. Namun daripada jumlah ini, kira-kira RM4.5 juta adalah untuk kos operasi, manakala baki RM8 juta pula adalah jumlah sebenar untuk program ini.

Dalam sektor pendidikan, pihak kerajaan Selangor telah mengalami kerugian berjumlah RM39.69 juta dalam tahun 2010, dan RM13.56 juta melalui Pendidikan Industri YS Sdn Bhd (PIYSB) iaitu syarikat yang menjalankan operasi UNISEL.

Ini adalah contoh-contoh kebocoran dan pembaziran dalam negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat. Sekiranya anda membaca Laporan Ketua Audit Negara dengan lebih mendalam, anda akan menemui banyak lagi contoh-contoh sebegini.


Melangkah ke hadapan

Ketika Pilihanraya Umum Ke-13 semakin menghampiri kita, Pakatan Rakyat telah menguatkan lagi usaha mereka untuk menawan undi-undi di Sabah dan Sarawak. Memang tidak dapat dinafikan bahawa 56 kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak akan menjadi pertaruhan mutlak untuk kedua-dua Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat. Maka tidak hairanlah bila Pakatan telah melancarkan misi untuk menyerang dan mengacau-bilaukan pentadbiran di kedua-dua negeri ini.

Malangnya, serangan ke atas prestasi Sabah dan Sarawak terbukti sia-sia apabila setiap tahun laporan Ketua Audit Negara menunjukkan kedua-dua negeri sering membawa prestasi yang baik dalam pengurusan kewangan dan polisi-polisi fiskalnya.

Dalam laporan terkini untuk tahun 2011, Ketua Audit Negara telah menganugerahkan ulasan "sangat baik" hanya kepada sebuah negeri iaitu Sarawak. Sementara itu, Sabah pula terus mengekalkan status kedua terbaik iaitu "baik" dari tahun-tahun sebelum ini.

Akaun-akaun dana disatukan untuk 2011 bagi kerajaan-kerajaan negeri Sabah dan Sarawak adalah yang paling tinggi dalam kalangan negeri-negeri, iaitu RM18.5 bilion untuk Sarawak dan RM2.66 bilion untuk Sabah. Selangor jatuh di tempat ketiga dengan RM1.94 bilion sementara Pulau Pinang pula pada tempat keempat dengan RM1.13 bilion.

Sekiranya kita melihat kepada statistik pendapatan negeri untuk tahun 2011, Sarawak menduduki tempat pertama dengan RM6.6 bilion, diikuti oleh Sabah pada tempat kedua dengan RM4.4 bilion, Selangor di tempat keempat dengan RM1.6 bilion dan Pulaiu Pinang di tempat ketujuh dengan RM602 juta.

Artikel ini bukanlah bertujuan untuk menyembunyikan kebocoran dan pembaziran dalam negeri-negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional. Memang tidak dapat dinafikan, wujud juga kebocoran dan pembaziran yang jelas dalam negeri-negeri Barisan.

Apa yang saya mahu jelaskan dengan menulis artikel ini adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat umum bahawa kebocoran dan pembaziran ini bukan hanya berlaku di negeri-negeri Barisan semata; kerajaan-kerajaan negeri di bawah pentadibran Pakatan Rakyat juga bertanggungjawab terhadap pembaziran yang turut berlaku di negeri mereka.


Sumber: MPKotaBelud
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...