Wednesday, February 06, 2013

Prestasi Pengurusan Kewangan Negeri Sabah


Mungkin ramai pihak-pihak tertentu yang cuba mempersoalkan status kewangan negeri Sabah dengan membuat dakwaan bahawa Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman gagal menguruskan kewangan negeri dengan baik. Statistik dibawah ini akan menjelaskan kejayaan kerajaan negeri dalam menguruskan kewangan negeri di mana ianya mencatatkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Untuk membangunkan sesebuah negeri ianya memerlukan dana atau kewangan. Peruntukan kewangan yang mencukupi hanya boleh disediakan jika sumber-sumber hasil negeri dapat diurus dengan baik dan teratur. Cabaran utama yang sentiasa dihadapi oleh kerajaan ialah bagaimana untuk sentiasa meningkatkan hasil pendapatan Kerajaan Negeri supaya kutipan hasil tersebut dapat diagihkan kepada keperluan-keperluan untuk membangunkan negeri ini. Misalnya peruntukan perlu disediakan untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur dan kemudahan awam seperti jalanraya, bekalan air, perparitan, dan lain-lain. Peruntukan juga perlu disediakan untuk tujuan mengurus seperti membayar gaji pekerja, kos pentadbiran, kos penyelenggaraan, dan sebagainya. Jika sumber-sumber kewangan negeri tidak diurus dengan cekap, maka wujudlah satu keadaan di mana hasil negeri akan berkurangan; dana pembangunan tidak mencukupi untuk melaksanakan projek-projek yang diperlukan dan kualiti hidup atau kesejahteraan rakyat akan berada di paras yang rendah. (Tahap kemiskinan juga tidak akan dapat dikurangkan.)

Kerajaan menyediakan peruntukan perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri setiap tahun dengan beberapa objektif utama iaitu mengukuhkan kewangan negeri, mengekalkan pertumbuhan ekonomi, mempercepatkan pencapaian halatuju, menambahbaik infrastruktur asas dan kemudahan awam, mengurangkan kadar kemiskinan, membangunkan belia dan modal insan yang berkualiti dan pembangunan wilayah seimbang.

Sumber: www.mof.sabah.gov.my
Statistik graf diatas menerangkan bahawa pungutan hasil negeri menunjukkan peningkatan yang konsisten tahun demi tahun bermula tahun 2003. Peningkatan hasil terjejas sedikit pada tahun 2007 disebabkan kegawatan ekonomi dunia. Pada tahun 2010, pungutan hasil negeri telah mencatat pungutan hasil yang tertinggi dalam sejarah kewangan negeri sebanyak RM4.2 billion. Usaha sedang ditingkatkan untuk meningkatkan lagi hasil negeri. 

Dar segi perbelanjaan, dengan saiz keluasan negeri dan keadaan muka bumi serta polar kependudukan rakyat di luar bandar, perbelanjaan pengurusan dan pembangunan di negeri ini adalah besar. Sejak akhir tahun 80an hingga pertengahan tahun 90an, kerajaan membelanjakan hampir RM2.0 billion setiap tahun. Bagaimanapun, perbelanjaan tahunan negeri menguncup dalam beberapa tahun berikutan kegawatan ekonomi yang berlaku pada tahun 1997. Sebaik sahaja ekonomi negeri pulih pada awal tahun 2000, selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangun negeri dan untuk memastikan rakyat dapat menikmati tahap kehidupan yang lebih baik, perbelanjaan negeri ditingkatkan dari tahun ke tahun bermula tahun 2002. Dalam RMK9(2005-2010), perbelanjaan negeri telah dilonjakkan. Pada tahun 2008, perbelanjaan negeri adalah hampir RM3.0 billion dan pada tahun 2010, melebihi RM3.0 billion.

Sumber: www.mof.sabah.gov.my
Statistik graf di atas menunjukkan bahawa rezab negeri adalah dalam keadaan yang kukuh. Jika pada tahun 2001, rezab negeri hanya berjumlah RM164.88 juta, namun dengan pengurusan kewangan yang berhemat dan bijak di bawah kepimpinan Menteri Kewangan/Ketua Menteri, rezab meningkat dari tahun ke tahun. Pada tahun 2010, rezab negeri adalah RM3.3 billion dan jumlah ini dijangka akan meningkat dengan pentadbiran kewangan yang baik di tahun-tahun seterusnya.

Sumber: www.mof.sabah.gov.my

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...