Lahad Datu: Kerajaan negeri membidas tindakan pihak pembangkang yang sengaja datang ke daerah ini untuk mengeruhkan keadaan dan protes rundingan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berhubung insiden pencerobohan kumpulan bersenjata yang mendakwa sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu ke negara ini sejak Selasa lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, berkata tindakan pembangkang itu hanya mahu memenuhi agenda politik sendiri bagi memfitnah dan mereka-reka andaian bahawa kerajaan tidak mengambil berat akan isu berkenaan.
"Kita sememangnya amat kecewa dan dukacita (dengan tindakan pembangkang) kerana dengan keadaan sebegini mereka mahu mengeruhkan keadaan seolah-olah kita tidak mengambil tindakan. Sebenarnya kita telah mengambil tindakan yang terbaik dan pihak keselamatan sendiri juga telah melakukan tugas dengan baik sehingga setakat ini." katanya dalam sidang media Ops Sulu, di Komtek Sahabat 16, Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu, dekat sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu kedatangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang hadir ke daerah ini untuk memburukkan tindakan kerajaan selain kelakuan tiga pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) yang cuba memasuki Kampung Tanduao melalui jalan laut kelmarin.
Menurut Musa, dalam keadaan sekarang apa yang ditekankan adalah mahu menyelamatkan nyawa manusia tanpa menggunakan sebarang kekerasan agar kumpulan tersebut pulang dengan baik ke tanah air mereka.
"Kita sentiasa berunding pada mana-mana masalah yang boleh diselesaikan dengan cara baik kerana itu adalah pendekatan kita. Bukan dengan cara pembangkang yang sentiasa tidak bertanggungjawab kerana dalam isu soal keselamatan sebegini pun mereka sengaja mahu mengambil kesempatan bagi mencapai tujuan politik mereka sahaja." tegasnya.
Mengulas lanjut, Musa turut meminta kumpulan penceroboh agar pulang secara aman kerana ia melanggar peraturan antarabangsa.
"Kita tidak mahu berlaku sehingga mungkin pihak pasukan keselamatan tiada alternatif lain lagi." katanya.
Hadir bersama pada sidang media itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.