Showing posts with label Pencapaian. Show all posts
Showing posts with label Pencapaian. Show all posts

Monday, February 25, 2013

Kerajaan Pilih Jalan Terbaik Dalam Menangani Isu Pencerobohan Di Lahad Datu


Kota Kinabalu: Rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana pasukan keselamatan negara masih dapat menangani secara bijaksana isu pencerobohan warga Filipina sejak 12 Februari lepas di Kampung Tanduo, Lahad Datu, bahagian pantai timur Sabah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata apa yang penting sekarang ialah insiden itu diharap dapat diselesaikan dengan cara baik tanpa berlaku pertumpahan darah.

"Insiden di Lahad Datu mempunyai kesan dari segi apa sahaja yang berlaku di negeri ini tentu ada impaknya. Tapi yang kita rasa bersyukur ialah bahawa soal itu telah dan masih ditangani secara bijaksana oleh pasukan keselamatan dan polis kita dan ini telah dijelaskan dengan nyata oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) semasa beliau berada di sini dan kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri) dan IGP (Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar)," kata timbalan pengerusi Barisan Nasional itu kepada pemberita ketika diminta mengulas perkembangan terkini isu pencerobohan itu.

Beliau sebelum itu mendengar taklimat pilihanraya daripada pengeruso-pengerusi penyelaras bahagian BN Sabah di Bangunan UMNO, di sini kelmarin. Beliau berkata kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik bagi menangani isu pencerobohan itu seperti yang diharapkan rakyat.

"Kalau itu dapat kita lakukan, In Shaa Allah, rakyat di negeri Sabah terutamanya akan rasa bahawa keselamatan sentiasa terpelihara. Mereka dapat menyaksikan kepimpinan di peringkat negeri dan juga pusat telah berusaha menyelesaikan masalah sensitif itu dengan keadaan yang baik dan impaknya adalah baik," katanya.

"Maknanya rakyat tahu kita boleh urus apa sahaja masalah yang timbul dan tidak membawa kesan buruk kepada negeri ataupun negara," katanya sambil menambah bahawa kerajaan akan memberikan perhatian yang paling utama soal keselamatan rakyat Sabah - Bernama

Saturday, February 23, 2013

Menyingkap Sejarah Yayasan Sabah

Photo By Augustine 

Menyedari tentang pentingnya mencapai taraf hidup dan pendidikan yang lebih baik bagi rakyat Malaysia di Sabah serta memenuhi keperluan itu dengan lebih cekap, satu enakmen penubuhan Yayasan Sabah telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sabah pada tahun1966. Di bawah enakmen tersebut, Yayasan Sabah terlibat secara meluas dalam pembangunan sosioekonomi penduduk di luar bandar. Penubuhan Yayasan Sabah ini memperlihatkan antara idea kerajaan negeri ketika itu, di mana Yayasan Sabah menjadi medium dalam melaksanakan pembangunan sosioekonomi rakyat Sabah. 

Visi Yayasan Sabah ialah untuk menjadi sebuah organisasi yang "Dinamik, Berjiwa Rakyat, Prihatin Dan Komited". Ini memberi mesej yang jelas mengenai komitmen tinggi Yayasan Sabah dalam mencapai objektif korporatnya untuk menokok tambah peranan kerajaan dalam usaha membawa kemajuan sosial dan ekonomi kepada rakyat Malaysia di Sabah.

Photo By Yayasan Sabah
Dalam bidang sosial, Yayasan Sabah melaksanakan pelbagai program termasuk program sosial Zon yang merangkumi pembangunan pendidikan, sosioekonomi dan sosiobudaya, aktiviti penyelidikan dan pembangunan sosioekonomi (R&D), dan program konservasi alam sekitar antaranya di kawasan Danum Valley, Maliau Basin dan Imbak Canyon milik Yayasan Sabah. Program lain yang turut dijalankan ialah perpustakaan penyelidikan, pendidikan prasekolah, bantuan biasiswa dan pinjaman pengajian, kemudahan asrama, skim bantuan khas, bantuan kebajikan untuk OKU dan lain-lain lagi.

Photo By Yayasan Sabah
Dalam bidang komersil, Yayasan Sabah telah memperluaskan asas ekonominya daripada bergantung secara tradisi dengan sektor-sektor produktif yang lain seperti pengangkutan, hartanah, pelancongan, penanaman rumpai laut, perladangan kelapa sawit, bioteknologi dan minyak dan gas. Ini adalah selari dengan Halatuju Kerajaan Negeri yang memberi fokus kepada sektor pertanian, perlancongan dan sektor pembuatan.

Pada masa akan datang, Kumpulan Yayasan Sabah akan terus mempelbagai sumber pendapatannya dengan fokus untuk mencapai pertumbuhan dan pendapatan yang lebih tinggi.

Sumber: Kumpulan Yayasan Sabah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...